DENGGI
Musim hujan ni kena hati hati sikit ok sebab air suka bertakung di kawasan rumah dan kejiranan kita.
Siapa yang suka dengan air bertakung ni selain kucing dan anjing yang dapat minum air bila haus masa tengah ronda kawasan?
Nyamuk!
Nak nak lagi kalau nyamuk Aedes.
Kalau kita kena gigit, apa penyakit yang kita boleh dapat?
Ya. Denggi.
So, apa tanda tanda demam denggi?
1. Demam panas (sebab nama pun demam denggi)
2. Ruam ruam
3. Sakit kepala
4. Sakit belakang mata
5. Tak lalu makan
6. Meloya atau muntah
7. Sakit perut
8. Sakit sendi sendiri
9. Tak bermaya
Tanda tanda ini biasanya akan muncul selepas 5-6 hari lepas nyamuk aedes gigit kita.
Apa yang perlu kita buat?
Bila ada tanda tanda di atas, tolonglah datang klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Tak perlu lah nak tanya kat group whatsapp ke facebook ke twitter ke : Eh, aku demam pastu ada ruam, apa yang patut aku buat ye?
Nanti adalah yang bagi petua merapu pastu awak pun ikut aje.
Pastu tiba2 dah teruk jadi denggi berdarah pastu baru nak pergi hospital pastu meninggal pastu keluarga salahkan hospital sebab tak pandai merawat. Yelah, sekarang ni semua salah hospital ajee.
Jaga diri ok.
Demam denggi berdarah boleh membawa maut.
Tanda tanda demam denggi berdarah adalah:
1. Mudah lebam
2. Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
3. Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut.
Bagaimanakah nak diagnos denggi?
Melalui simptom simptom dan ujian darah.
Biasanya bila pesakit kata demam melebihi tiga hari, saya akan terus ambil darah supaya kita tahu apa punca demam tu terjadi.
Apakah rawatan untuk denggi?
Hydrate-kan pesakit iaitu bagi pesakit minum dan makan. Kalau tak lalu makan, wajib minum air masak banyak banyak. Kalau tak lalu juga, kita masukkan ke dalam wad dan bagi air melalui drip.
Bahaya jika kurang air. Boleh sebabkan dihidrasi melampau.
Makan sayur dan buah banyak banyak untuk banyakkan vitamin kepada badan kita supaya imuniti badan kita kuat.
Tak perlu pil vitamin atau apa apa supplemen untuk denggi ok. Ianya hanya akan merosakkan fungsi hati sahaja.
Ingat, bila fungsi hati rosak, makin mudah pendarahan berlaku.
Jangan main main dengan pendarahan.
Ianya boleh menyebabkan berlakunya shock akibat dihidrasi melampau. Daripada shock inilah yang boleh mengakibatkan maut.
Apakah langkah pencegahan yang boleh kita buat?
* Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
* Membuang bekas yang boleh menakung air
* Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup
* Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
* Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
* Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
* Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
* Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
* Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
* Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
* Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
* Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup.
Betulkah makan sup ketam boleh sembuhkan denggi?
Tidak ada kajian spesifik tentang ini.
Mungkin mitos ini terjadi kerana pesakit tak lalu makan, jadi mak dia buat sup ketam supaya sedap sikit atau kenyang sikit.
Makanlah sup apa pun, insha Allah ok.
Yang penting banyakkan minum air masak.
Bagaimana nak tahu yang kita dah sembuh dari denggi?
Melalui ujian darah juga.
Boleh ke denggi terjadi lagi jika pernah dijangkiti?
Boleh dan lebih mudah dijangkiti.
Ada vaksin kah untuk denggi?
Masih dalam kajian.
Ingat ok, Aedes suka pada suhu yang lembab dan air yang bertakung.
Oh ya, nyamuk ini paling suka keluar melepak di waktu senja kerana waktu tu juga agak gelap dan lembab. Sebab tu orang dulu dulu suka marah kalau anak anak depa suka balik time senja senja. Bukan sebab setan sahaja suka berkeliaran, nyamuk aedes pun sama juga.
Jadi, kalau anda suka balik time senja, anda adalah gabungan aedes dan syaitan, maka jadilah aetan atau syaides! (Ok tak lawak)
Eloknya time maghrib tu dah get ready nak pi solat kat masjid dah bukan sapkok sini sana lagi✌🏻
Nota kaki : ruam merah akibat gigitan cinta tak perlu datang klinik dan tak perlu ditayang tayang ya😋
Tiada ulasan:
Catat Ulasan