Sabtu, 4 November 2017

Jamu dan ubatan tradisional

JAMU DAN UBATAN TRADISIONAL

Ada sekali tu saya sedang merawat seorang pesakit kencing manis. Pakcik itu ditemani isteri dia. Umur mereka sudah lewat 50an. Muka ceria berjalan berjinjing tangan. Keputusan darah pakcik agak tinggi untuk LFT ( Liver function test) atau fungsi hati.

Saya pun tanya,
Maaf pakcik, saya nak tanya sikit ni.
Pakcik ada makan ubat2 kampung ke ubat kuat ke ubat online ke apa apa ke?

Isteri pakcik pun menyampuk.
Alaa pakcik makan ubat yang makcik buat sendiri je. Biasalah ubat jamu ni doktor. Untuk hilang sengal2 badan dan nampak muda.hihi.Terkekeh dia gelak.

Bila di tanya macam mana dia buat sendiri jamu tu?

Kata dia , ala campur campur lepas tu hantar kilang pergi packaging. Senang sikit nak makan sebab berbentuk kapsul.

Tanya lagi, macam mana makcik masukan jamu tu dalam kapsul?

Alaa, apalah doktor ni. Sekarang ni dunia moden. Hantar je semua pergi kilang. Nanti depa tau lah nak buat apa. Asal ada duit semua jalan doktor.

Ohh senang ye.
Ubat kencing manis takde ke acik? ( sorry agak sinis)

Makcik pakcik tersengih kambing.

Mereka dah amalkan jamu kononnya buatan sendiri tu lebih dari sepuluh tahun. Dan mereka juga menjual kepada kawan kawan dan sanak saudara. Sebekas rm20. Tiada tarikh luput. Sehari boleh makan 1-4 kapsul. Ikut badan, kalau rasa panas, satu kapsul dah cukup.

Rasa rasa awak, bahaya tak?

Taktahu ramuan apa
Taktahu kilang yang macam mana
Taktahu tahap kebersihan dia
Taktahu tarikh luput

Tapi jamu moden yang entah apa apa dicampur, entah kilang mana dia hantar, entah macam mana kebersihan dalam proses pembuatan, entah bila akan basi, itu tak pulak kita risaukan.

Ramai yang taksub betul dengan jamu.
Ada yang kata alah orang dulu2 makan elok je.
Eh orang endon lawa lawa sebab makan jamu la.
Uish kalau nak 'rapat' sentiasa kenalah makan jamu nanti suami lari.
Bahaya tak makan jamu lepas bersalin, nanti urat bengkak badan masuk angin.

Hurmm,elok ke jamu ni?

Jamu atau ubat tradisional adalah ubat yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada bahan aktifnya bersumber daripada tumbuhan ubatan (herba). Ia digunakan dengan tujuan untuk menghalang atau merawat penyakit atau juga untuk meningkatkan tahap kesihatan. 

Biasanya orang mengambil jamu adalah untuk menjarakkan kelahiran, mengatasi masalah sakit-sakit badan serta membantu meningkatkan kepuasan hubungan kelamin. 

Di antara herba yang dilaporkan popular untuk memenuhi keperluan tersebut adalah manjakani, kacip fatimah, tongkat ali , mengkudu dan mas cotet.

Ada juga yang mengambil jamu khas untuk digunakan semasa kehamilan. Di antara yang menjadi pilihan adalah sanggul fatimah, bunga kembang semangkuk yang direbus dan diminum airnya atau minyak kelapa yang dibacakan doa atau disebut 'minyak selusuh' untuk mempermudahkan proses kelahiran. 

Ada juga yang beranggapan jamu dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kecerdikan janin serta mengatasi masalah lekat uri (retained placenta). 

Di samping itu, ada juga segelintir wanita yang mengakui pernah mengambil tumbuhan dikenali sebagai pokok celaka untuk menggugurkan kandungan atau melawaskan haid.

Walaupun bersumberkan tumbuh-tumbuhan, jamu juga tidak terkecuali daripada kesan yang membahayakan kesihatan kerana beberapa faktor seperti:

Tumbuhan itu sendiri mempunyai bahan aktif yang kadang kala boleh memberi kesan toksik atau bahaya kepada ibu mahupun janin. 

Misalnya, jus mengkudu mengandungi kandungan garam kalium (potassium)yang tinggi yang membahayakan sesiapa yang mempunyai masalah buah pinggang. Garam kalium yang tinggi dalam darah juga boleh mengganggu proses denyutan jantung.

Jamu itu boleh tercemar dengan kuman atau logam berat seperti plumbum semasa proses pengambilan, penyimpanan atau proses pemprosesan ubat itu sendiri.

Ada juga jamu yang diambil dengan tujuan menghilangkan sengal sengal badan atau membuatkan badan sentiasa bertenaga. Biasanya jamu jenis ini mengandungi kandungan seperti phenylbutazone yang kandungan antiinflamasi( anti keradangan) lebih kuat dari analgesiknya(kurangkan sakit). Ianya akan merosakkan sel sel darah dan hati.

Kebanyakkan jamu moden juga mengandungi steroids yang agak tinggi. Saya pernah menerangkan tentang bahayanya steroids terhadap fungsi buah pinggang dan hati.

Ada juga jamu yang mengandungi dexamethasone dan parasetamol. Biasanya digunakan untuk kes kes alergik dan juga untuk mengurangkan keradangan. Sebab tu bila makan jamu, jerawat semua akan hilang dan badan terasa panas sahaja.

Ada juga yang mengandungi asid mefenamik yang fungsinya adalah sebagai analgesik atau mengurangkan sakit ( bahasa lainnya ubat tahan sakit)

Jamu pelangsing pula biasanya mengandungi sibutramine. Sibutramine ini biasanya akan mengurangkan keinginan kita untuk makan. Ianya akan mengganggu ritma jantung, mulut kering, mual, sakit kepala, sakit perut, selalu mengantuk, senggugut yang melampau, mudah berdarah, sakit kulit, tak selesa di bahagian dada, stroke dan gangguan otak.

Dan akhir sekali adalah jamu kuat. Biasanya diambil oleh kaum adam. Dan yang sinonim adalah viagra. Kandungan sildenafil dalam jamu kuat adalah sangat bahaya. Kandungan sildenafil yang tinggi boleh menyebabkan kematian.

Setiap kandungan dalam jamu adalah sangat merbahaya untuk hati dan buah pinggang kita. 

Kenapa bahaya? 

Kerana ianya adalah toksik dan toksik perlu dikeluarkan dari badan. Kerja menyahtoksik ini biasanya dilakukan oleh hati dan buah pinggang kita. 

Jadi kalau setiap hari kita mengambil jamu jamu ini, kesianlah pada organ badan kita yang terpaksa bekerja lebih dari sepatutnya dan sebab itulah akhirnya organ organ ini akan rosak.

Kesian kan?

Allah bagi elok dah badan kita tapi kita sendiri yang terlalu bernafsu untuk lawa lah, kuatlah, ketatlah, langsinglah sampai kita lupa yang kita dah memusnahkan badan sendiri.

Dah banyak kali rasanya saya tekankan.

Untuk dapatkan badan yang sihat, kuat, cantik, hensem, ketat, kita sendirilah yang tentukan dengan cara hidup kita seharian.

Mana mungkin harapkan pada jamu dan supplemen semata mata. Kan?

Jagalah amanah Allah yang paling bermakna iaitu kesihatan. Sebab tu ramai doktor selalu bagi nasihat cliche : mencegah lebih baik daripada merawat.

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” 
(Riwayat al-Tirmizi)

Saya bukan anti supplemen atau anti petua lama, tapi kita kena tahu mana baik dan buruknya. 

Nak makan jamu?
Boleh tapi berpada. Makan yang natural.
Bukan yang dikilangkan.

Ingat hidup berpandukan Al quran, bukan melayu atau petua orang dulu dulu✌️

Nota kaki : Dua nikmat yang manusia sering mempersia-siakan iaitu kesihatan dan masa lapang. 

Tiada ulasan:

Featured post

tips bayi: mandi lemon bagi mengurangkan bayi yang selsema batuk dan deman

assalamualaikum semua sape pernah ada anak2 pernah kene demam selsema ? alhamdulillah dari zayyan lahir hingga sekarang xpernah lagi dis...