Assalamualaikum ❤️
PELVIC INFLAMMATORY DISEASE (PID)
(Saya kongsikan sekali lagi artikel ini khusus untuk mereka yang taksub dengan jamu dan insert2)
Kebelakangan ini makin ramai wanita muda mengalami masalah PID ini. Tapi tak ramai yang mendapatkan rawatan dengan betul. Dibiarkan sampai memakan diri sendiri.
Apakah PID?
Penyakit keradangan pelvis ini adalah jangkitan kuman terhadap sistem peranakan wanita. Jangkitan kuman ini boleh berlaku di bahagian serviks dan merebak ke rahim,ovari dan tiub Fallopio.
Bagaimanakah PID terjadi?
Biasanya disebabkan oleh bakteria penyakit kelamin (STD- sexually transmitted diseases) seperti Neisseria Gonorrhea, Chlamydia Trachomatis.
Tetapi di Malaysia, penyakit kelamin biasanya disebabkan oleh Gonorrhea.
Penggunaan vaginal wash juga merbahaya kerana ianya boleh mengubah pH asal mahkota wanita.
Mahkota kita sudah mempunyai pH yang sesuai dan ada bakteri baik dan jahat dalam nisbah yang seimbang. Tidak perlu kita ubah apa apa.
Hubungan kelamin bersama suami tidak sama dengan proses memasukkan sesuatu selainnya. Jadi, tidak logik jika anda samakan hubungan dengan suami dan tangan sendiri.
Siapakah yang berisiko tinggi mendapat PID?
* Membuat hubungan seks tanpa kondom ( dengan pasangan yang tidak kenali/ bertukar tukar pasangan)
* Berusia di bawah 25 tahun dan aktif dari segi seksual pada usia muda
* Mempunyai pasangan seks baru;
* Mempunyai beberapa orang pasangan seks;
* Mempunyai sejarah mengalami jangkitan kelamin, atau suami anda mempunyainya.
* Menggunakan alatan pelik di bahagian sulit seperti douche atau meruang.
Jangkitan kuman ini boleh merebak dari bukaan rahim(serviks) dan menjangkiti seluruh bahagian rahim, ovari dan tiub Fallopio.
Apakah tanda tanda dijangkiti PID?
Biasanya wanita tidak mengalami sebarang tanda tanda. Tapi jika anda seringkali berasa simptom seperti di bawah, segeralah berjumpa doktor.
( boleh rujuk gambar)
Adakah PID merbahaya?
Jika tidak dirawat dari awal, memang merbahaya.
Sebab tu jika rasa sesuatu tidak kena, terus dapatkan rawatan. Bukan tanya dulu kat group merapu dan malas ke klinik/hospital.
PID boleh menyebabkan tisu di bahagian tiub Fallopio tercalar (meninggalkan parut) dan bernanah. Ini boleh menyebabkan tiub tersumbat dan telur tidak dapat disenyawakan mengakibatkan mandul.
Jika telur itu disenyawakan, ianya tidak dapat turun ke rahim menyebabkan berlakukan kandungan luar rahim ( ectopic pregnancy).
Jadi, jangan ambil enteng.
Nanti salahkan jin pula🙄
Bagaimana pemeriksaan dilakukan?
Doktor akan bertanya sejarah penuh tentang penyakit anda dan melakukan pemeriksaan lengkap yang bersesuaian dengan simptom yang anda sebutkan.
Biasanya, pemeriksaan calitan pada bahagian serviks dan rahim.
Apakah rawatan untuk PID?
Jika didiagnos di peringkat awal, antibiotik akan diberikan berdasarkan keputusan pemeriksaan. Biasanya antibiotik akan diberikan selama dua minggu.
Anda wajib habiskan antibiotik anda dan elakkan bersama pasangan dalam masa dua minggu untuk mengelakkan jangkitan merebak.
Ingat, penyakit kelamin merebak dengan hubungan kelamin.
Perlukah rawatan pembedahan?
Kebiasaanya tidak perlu melainkan jika nanah itu terlalu besar menyebabkan kesakitan yang melampau atau nanah itu pecah.
Jadi, dapatkan rawatan segera sebelum terlambat.
Apakah langkah pencegahan yang perlu anda lakukan?
1. Hindari seks rambang.
2. Jangan gunakan douche
3. Jangan meruang
4. Basuh mahkota anda dari depan ke belakang bukan sebaliknya.
5. Lakukan ujian Paps smear setahun sekali jika anda adalah seorang muda ( bawah 25 tahun) dan aktif melakukan hubungan seksual.
6. Tidak perlu gunakan feminine wash. Cukup sekadar air biasa. Cuci dan lap sehingga kering.
7. Jangan masukkan apa apa seperti jamu/manjakani/perapat ke dalam mahkota anda.
Bolehkah anda mengandung jika anda pernah dijangkiti PID?
Insha Allah boleh.
Dapatkan rawatan sebetulnya.
Ingat, jangan beri peluang kepada kuman untuk masuk ke dalam mahkota anda.
Jagalah kebersihan sebaiknya.
إِنَّ اللَّهَ تَعَالى طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ كَرِيمٌ يُحِبُّ الْكَرَمَ جَوَادٌ يُحِبُّ الْجُودَ فَنَظِّفُوا أَفْنِيَتَكُمْ
(رواه التيرمدى:2723)
Sesungguhnya Allah swt. itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu.
(H.R. at –Tirmizi: 2723)
Nota kaki : Lindungi mahkota kita dari kuman durjana✌🏻
Faraj tak boleh berkerak tapi boleh tersumbat apabila disumbat dengan benda merapu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan