KEPALA LUTUT
( Post bulan 4 saya)
' Adoi doktor, lutut saya ni sakit sangatlah. Nak bengkok susah sangat. Jatuh minggu lepas tapi still sakit2 lagi' ( masih boleh berjalan)
' Aiyaa dokter. Ini lutut kan rasa asam asam(kebas) la. Susah mau jalan. Bila duduk saja, nak jalan mesti susah woo.'
' Adui adui adooohhhh! Sakit gilaaaaa!! Nak berdiri pun takleh ni!! Adoooohhhhhh' ( baru lepas accident)
' Doktor! Tengok la ni.. bengkak gilaaaaaa lutut saya ni.. sakit dia ya allah! Tuhan ja yang tau.. semalam ada makan nasik lemak lauk sardin dgn sambal sotong' ( pesakit memang ada gout)
Ramai juga yang datang ke klinik dengan komplen sakit lutut. Dari yang muda belia ke yang tua usianya. ( kalau cakap tua bangka nanti orang marah)
Terdapat banyak sebab yang boleh menyebabkan sakit lutut ni. Antaranya adalah :
1. Trauma/ cedera
- patah, koyak otot, cedera pada ligamen atau tendon, kurangnya pelincir antara lutut dan peha.
2. Penyakit lutut
- boleh jadi osteoarthritis, osteoporosis, reactive arthritis, tendonitis,gout dan lain lain.
3. Pendarahan pada sendi
4. Jangkitan kuman di kawasan lutut
- septic arthritis.
5. Obesiti
6. Peningkatan usia
7. Kurang mineral seperti kalsium, iron, magnesium
8. Terlalu aktif bersukan atau berolahraga
9. Masalah saraf
Tidak semua orang akan datang ke klinik dengan komplen yang sama. Ianya bergantung kepada penyebab berlakunya sakit lutut.
Komplen yang biasa kita dapat adalah :
1. Lutut bengkak
2. Lutut keras atau tak dapat dibengkokkan
3. Ada bunyi kruk kruk pada lutut
4. Tidak stabil bila berdiri
5. Sakit pada lutut bila berdiri atau bergerak
6. Lutut rasa lemah dan tidak mampu menampung berat badan
7. Demam
8. Rasa sengal sengal di kawasan lutut
9. Lutut menjadi panas
10. Susah untuk bangun di waktu pagi( mengambil masa yang lama untuk berdiri/bangun dari katil).
Segeralah berjumpa dengan doktor jika ada tanda tanda seperti di atas.
Ada banyak pemeriksaan yang perlu dilakukan sebelum doktor mendiagnos pesakit yang datang. Yang paling penting adalah cerita yang pesakit sampaikan.
Ingat, doktor bukan bomoh yang boleh tahu awak sakit apa hanya dengan tengok sahaja.
Doktor biasanya akan membuat pemeriksaan xray / ultrasound/ ct scan/ mri, pemeriksaan darah, pengambilan sampel dari cecair di lutut ( jika perlu).
Rawatan akan diberikan berdasarkan hasil diagnosis. Dan bukannya semuanya perlukan pembedahan.
Ramai yang suka salah sangka.
Asal lutut bengkak je gout.
Asal berdiri lutut rasa kebas sikit je patah.
Tapi tak ramai yang perasaan kebanyakkan masalah lutut adalah disebabkan oleh masalah berat badan.
Bahagian pelvic ( pinggul) ke bawah (peha,lutut,kaki) adalah bahagian yang menampung berat badan kita. Jadi, jika kita terlebih berat badan atau obesiti, perut membuncit dengan jayanya, kesianlah pada bahagian kaki dan pinggang kita.
Bayangkan kena tampung 80-90kg setiap hari.
Sebab tu selalu sakit2 atau sengal2 lutut.
Muda muda lagi dah sakit sakit lutut.
Cubalah untuk dapatkan berat badan yang ideal.
Golongan kedua yang banyak komplen tentang sakit lutut ini adalah golongan yang berpenyakit kencing manis.
Komplikasi utama pesakit kencing manis adalah masalah mata, buah pinggang dan saraf. Semua ni terjadi disebabkan oleh pengaliran darah ke organ dan salur darah lain sudah tidak cantik.
Sebab tu badan kita akan rasa sengal2 sahaja bila kandungan gula tinggi.
Saluran darah menjadi sempit menyebabkan organ tidak dapat oksigen dan bekalan darah yang mencukupi sebab tu tidak dapat berfungsi dengan normal.
Kalau dah ada penyakit gout, kawallah pemakanan kita. Janganlah sudah tahu tapi masih berdegil nak makan itu ini. Nanti bila dah sakit, asyik mengomel saja.
Bukan takboleh makan itu ini tapi kawal.
Bersederhanalah.
Dan untuk golongan yang sudah berusia biasanya lebih 50 tahun, masalah tulang rapuh atau osteoporosis adalah biasa. Lagi lagi untuk yang sudah menopause.
Bayangkan jika sudah berumur 55, dengan penyakit kencing manis lagi, berat 95kg lagi ( bmi 32), agak agak akan sakit lutut tak?
Jagalah dulu yang utama.
Insha allah yang lain lain juga akan terjaga.
Melainkan memang berlaku trauma atau ada jangkitan kuman, itu kita tak dapat nak elakkan.
Perlu ke fisioterapi?
Perlu untuk mengurangkan kesakitan dan membantu menyembuhkan fungsi kaki.
Perlu ke supplemen untuk lutut?
Tak perlu. Cuma perlu jaga makan ( cukup mineral yang diperlukan setiap hari). Glucosamine juga bukanlah ubat untuk sakit lutut, ianya cuma vitamin tambahan sahaja.
Betul ke ada supplemen yang boleh sembuhkan luka atau trauma lutut?
Tak betul. Semua itu hanyalah ubat tahan sakit dan mengandungi steroids sahaja. Jangan terpedaya.
Betul ke ada ubat sapu yang boleh buatkan makayah kita terus boleh berdiri?
Tak betul. Ubat atau krim sapu itu juga mengandungi analgesik/tahan sakit/steroids dan krim dengan elemen panas sahaja.
Hidup macam biasa.
Jaga makan. Pastikan semua elemen ( karbohidrat/protein/lemak/serat/vitamins) cukup dalam diet seharian.
Rajinkan diri bersenam.
Dapatkan berat badan yang ideal.
Ingat, badan cergas otak cerdas.
Nota kaki : badan makin berat, semua pun sendat, perut berlipat, lutut pun ketat✌🏻
Tiada ulasan:
Catat Ulasan